SEBUAH bas ekspres yang membawa 42 penumpang terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 1.0 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah selatan pada hari Ahad, 11 Januari.
Penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.24 pagi. Menurut beliau, kemalangan tersebut berlaku berhampiran Sungai Buaya menghala ke Rawang.
Sembilan anggota, dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai. Jentera bomba tiba pada pukul 5.51 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan sebuah lori.
Ahmad Mukhlis berkata lima mangsa yang didapati terperangkap, terdiri daripada empat penumpang bas dan pemandu lori. Bas tersebut membawa 42 orang termasuk dua pemandu.
Beliau berkata mangsa terakhir berjaya diselamatkan pada pukul 8.53 pagi dan kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Lapan mangsa ditempatkan di zon hijau hospital, manakala empat mangsa dirawat di zon kuning dan tiga lagi berada di zon merah.
-BTSMedia.my



