JABATAN Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC memaklumkan keputusan tersebut membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan dan dibuat selaras dengan kuasa serta budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
Menurut AGC, keputusan itu diambil berdasarkan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.
AGC menjelaskan bahawa sebelum ini pihaknya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada kesemua 47 pertuduhan tersebut. Susulan keputusan itu, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), merangkumi aspek sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.
Siasatan lanjut itu turut melibatkan perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada AGC selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri. Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu hasil siasatan tersebut, AGC mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi semua pertuduhan berkenaan.
AGC memaklumkan bahawa penelitian itu turut mengambil kira beberapa faktor, termasuk skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan, serta penilaian dalaman pendakwaan yang direkodkan pada peringkat awal berkaitan kesesuaian dan kecukupan keterangan untuk menyokong pendakwaan dan kebolehkekalan kes jika diteruskan.
Selain itu, AGC turut mengambil kira siasatan lanjut dan terperinci oleh SPRM bagi melengkapkan serta memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu kes, termasuk dapatan siasatan yang meliputi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi serta aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan tersebut dari semasa ke semasa.
Pada bulan Disember lalu, AGC menegaskan bahawa keputusan memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan beliau daripada semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan memaklumkan hasrat AGC untuk memberhentikan prosiding.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, dilaporkan membuat keputusan itu dengan mengambil kira siasatan yang masih berjalan serta penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, yang ketika itu menjadi asas penolakan permohonan Ahmad Zahid untuk dibebaskan sepenuhnya.
Pada bulan Jun 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes tersebut. Melalui permohonan yang difailkan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam memohon agar keputusan Peguam Negara untuk memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid dibatalkan, dengan menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid sebagai responden.
-BTSMedia.my



