JABATAN Alam Sekitar (JAS) Perak telah melancarkan siasatan berhubung kejadian Sungai Perak bertukar warna biru berhampiran Jambatan Kampung Sungai Papan, yang dipercayai berpunca daripada pencemaran.
Menurut pengarahnya, Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, contoh air telah diambil dari kawasan terjejas untuk dipeiksa di makmal bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau berkata aktiviti perlombongan antara kemungkinan yang sedang disiasat, dengan beberapa kawasan perlombongan terletak antara 19 hingga 40 kilometer dari lokasi kejadian turut diperiksa.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kualiti air sungai masih berada pada tahap selamat dan tidak menimbulkan risiko kepada penduduk berhampiran.
Stesen pemantauan JAS di kawasan berkenaan juga tidak mengesan sebarang tanda pencemaran, manakala pemantauan terbaru pada 9 Oktober mengesahkan kualiti air masih baik.
Dr Mohammad Ezanni menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang perubahan luar biasa pada warna air sungai atau kematian ikan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim, dipetik berkata bahawa air sungai tersebut telah kembali seperti biasa pada keesokan harinya dan tiada bukti pencemaran dikesan.
Kejadian itu pertama kali dilaporkan pada 21 Oktober selepas seorang pengguna Facebook memuat naik gambar menunjukkan sebahagian Sungai Perak bertukar biru berhampiran Jambatan Kampung Sungai Papan, kira-kira lima kilometer ke utara Kampung Air Ganda.
 – BTSMedia. my



