HAMPIR dua juta pengguna jalan raya berisiko disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana gagal menjelaskan saman trafik tertunggak bagi pelbagai kesalahan.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata saman tersebut melibatkan kesalahan yang direkodkan di bawah Saman 53A Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), serta Notis 114 dan 115.
Beliau memberi amaran bahawa selain risiko disenarai hitam, pesalah juga akan berhadapan dengan kenaikan kadar kompaun kepada RM300.
Tambah beliau, mata demerit di bawah Sistem Kejara (Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya) juga boleh dikenakan.
Muhammad Kifli menggesa mereka yang mempunyai saman tertunggak supaya mengambil peluang tawaran kompaun istimewa pada kadar rata RM150 yang disediakan untuk ketiga-tiga jenis kesalahan tersebut.
Beliau mengesahkan bahawa tawaran itu telah bermula sejak bulan Januari dan akan berlangsung sehingga akhir tahun ini.
-BTSmedia. my