BTS Media

Wanita maut, empat ahli keluarga cedera dirempuh lori dipandu lelaki positif dadah

GAMBAR: Polis Trafik Kuantan

SEORANG wanita maut manakala empat ahli keluarganya termasuk tiga kanak-kanak cedera apabila kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah lori tipper.

Dalam kejadian di Lebuhraya Kuantan Bypass, Kuantan semalam itu, pemandu lori tersebut dikatakan memandu di bawah pengaruh dadah  methamphetamine.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Umi Khaltom Mohamad Danyan, 41 tahun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM kira-kira pukul 10.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, anak perempuan mangsa berusia lapan tahun kini dirawat di zon merah hospital akibat kecederaan parah. Suami mangsa yang berusia 45 tahun, seorang imam masjid, bersama dua anak lelaki mereka berusia 20 dan enam tahun pula ditempatkan di zon kuning untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal polis mendapati keluarga mangsa dalam perjalanan pulang ke Paka, Terengganu selepas menjemput anak mereka dari sebuah institusi pengajian tinggi di Kuantan. Mereka memberhentikan kenderaan Proton Saga di bahu jalan sekitar pukul 4 petang untuk membeli buah-buahan di gerai seberang jalan.

“Ketika tiga anak mangsa berada di dalam kereta, pasangan suami isteri itu cuba melintas jalan sebelum dirempuh sebuah lori yang dipercayai hilang kawalan. Lori tersebut turut melanggar kenderaan keluarga itu yang sedang diparkir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Mohd Zahari, pemandu lori yang tidak mengalami kecederaan telah ditahan reman sehingga 5 Mei ini selepas ujian air kencingnya didapati positif methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara berbahaya atau melulu.

-BTS Media

Leave a Comment