SEORANG pemandu bas dan 21 penumpang cedera apabila bas yang mereka dinaiki bertembung dengan sebuah lori di KM35.4 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) di Kulai pada awal hari ini (Ahad 9 Feb).
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee, polis menerima maklumat kemalangan itu pada kira-kira pukul 2.45 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan kemungkinan kemalangan berlaku akibat kegagalan pemandu memperlahankan kenderaannya, lalu melanggar bahagian belakang lori.
“Pemandu bas dan 21 penumpang yang mengalami cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Ahad.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).
Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Sgt Ali Lorulince Abdullah di talian 013-7778884 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II KUP Mohd Khairil Buang berkata Tender Penyelamat Bomba bersama 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai dan Renggam dikejarkan ke lokasi.
“Dua mangsa dikeluarkan menggunakan pengusung dan tiga mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala mangsa lain diserahkan kepada pegawai Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
-BTS Media