PUSAT Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) mahu Jabatan Peguam Negara menangani isu mendapatkan dokumen sulit dalam kes pecah amanah (CBT) bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, serta mengenakan semula pertuduhan terhadap kedua-dua mereka.
Ia susulan keputusan mahkamah semalam yang membenarkan Najib dan Irwan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), yang berpunca daripada kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen sulit penting kepada kedua-dua tertuduh untuk menyediakan pembelaan mereka.
Dalam satu kenyataan, Pusat C4 turut menggesa Putrajaya meminda Akta Rahsia Rasmi dan menghapuskan kuasa sewenang-wenangnya untuk mengklasifikasikan dokumen sebagai rahsia.
“Pemberian DNAA kepada Najib Razak dan Irwan Serigar berhubung dakwaan penyalahgunaan RM6.6 bilion dana awam – atas dasar pihak pendakwaan tidak dapat membekalkan dokumen kepada pembelaan – adalah satu tamparan besar kepada kepercayaan orang ramai terhadap AGC.
“Peguam Negara Dusuki Mokhtar yang dilantik baru-baru ini mesti bertanggungjawab membina semula kepercayaan orang ramai dalam proses undang-undang dan memastikan kebimbangan kepentingan awam diambil serius.
“Oleh itu, Pusat C4 menggesa agar AGC segera menangani isu berkaitan perolehan bukti, dan jika diperoleh, mengembalikan semula pertuduhan.
“Kami menggesa kerajaan meminda OSA untuk menghapuskan kuasa sewenang-wenangnya untuk mengklasifikasikan dokumen sebagai rahsia bagi menangani kesan buruknya kepada pendakwaan rasuah sektor awam,” katanya.
Tambah kumpulan pencegah rasuah itu, Putrajaya perlu mempercepatkan pengasingan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan DNAA pasukan pembelaan terhadap enam pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.
Kes jenayah CBT terhadap Najib dan Irwan dikaitkan dengan dakwaan pembayaran RM6,636,065,000 dana kerajaan kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).
Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya semalam menegaskan bahawa pihak pendakwaan gagal mematuhi kehendak Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Kes jenayah itu telah berlarutan sejak Najib dan Irwan pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Okt 2018. Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Turut membangkitkan kebimbangannya terhadap perintah DNAA itu adalah ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang menggesa AGC menyemak semula kes mereka terhadap Najib dan Irwan.
Katanya, kes itu melibatkan sejumlah besar wang pembayar cukai dan AGC mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keadilan ditegakkan tanpa berlengah-lengah.
“Pihak AGC perlu menyemak semula kes ini dan jika mereka menemui bukti kukuh, Najib dan Irwan mesti didakwa semula tanpa berlengah lagi.
“Ini penting untuk memastikan keadilan dilaksanakan secara telus dan adil.
“Semua dokumen penting yang diperlukan untuk pendakwaan perlu disediakan sepenuhnya dan dibentangkan dengan teliti supaya perbicaraan dapat dijalankan tanpa sebarang masalah teknikal atau halangan.
“Kes ini adalah ujian besar kepada komitmen negara ke arah menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang, keadilan dan akauntabiliti,” katanya.
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/727300