GAMBAR: Anadolu.
GRADUASI adalah detik penting bagi semua pelajar. Ia melebihi sekadar kemegahan dan simbol pencapaian.
Ia menandakan, saat mercu tanda apabila pelajar menerima skrol yang merupakan testimoni diidamkan pada akhir kehidupan akadamik.
Bagaimanapun, bagi sesetengah pelajar yang menunjukkan solidariti dan mengambil bahagian dalam protes pro-Palestin, aktivisme kampus telah menyebabkan mereka kehilangan ijazah.
“Empat tahun dihabiskan untuk belajar, tetapi berakhir dengan hanya rekod jenayah,” kata Youssef Hasweh, salah seorang daripada empat pelajar di Universiti Chicago yang telah ditahan ijazah mereka sementara menunggu siasatan terhadap protes solidariti Palestin di kampus.
“Sedekad (sekolah menengah dan universiti) ditongsampahkan hanya saya tegas menunjukkan sokongan kepada insan yang teraniaya di Palestin.
Pelajar yang dinafikan ijazah – sesetengahnya ditangkap, dibuang kerja, digantung dan dikenakan tindakan tatatertib, berkata mereka kini berada dalam keadaan tidak menentu dan dijadikan contoh akibat menentang kerakusan Zionis.
Sementara mereka menunggu proses rayuan dan keputusan penyiasatan universiti, mereka bersiap sedia untuk menghadapi masa depan yang tidak menentu.
Dalam senario terburuk, mereka akan dibebani dengan hutang, tanpa menerima ijazah yang sepatutnya mereka miliki.
Walau apa pun, mereka memberitahu akhbar USA TODAY bahawa mereka tidak sikit pun berasa kesal atas apa yang mereka lakukan.
“Saya dibebani hukuman yang amat tidak adil dan perlu mengatasi tekanan, tetapi ia tidak seberat apa yang dirasai oleh rakyat Palestin di Gaza,” kata Devron Burks, pelajar Universiti Vanderbilt yang ditangkap dan dibuang kerana menyertai protes anti-Israel dengan menguasai sebuah bangunan kampus bersama grup solidariti Palestin. “Saya tidak menyesal, dan saya tidak akan menyesal sampai bila-bila.”
Bagi Hasweh, yang aktif dalam protes pro-Palestin sejak perang Israel-Hamas meletus, menerima e-mel daripada pihak universiti kira-kira seminggu sebelum tamat pengajian bahawa dia tidak akan dianugerahkan ijazah.
Hasweh ialah pelajar sains politik yang mempunyai keluarga di Tebing Barat. Dia mengesyaki universiti mengesannya dan tiga rakan sekuliah kerana mereka adalah antara kumpulan yang ditahan atas tuduhan ‘menceroboh’ kerana menyertai grup pro-Palestin.
Dalam perkembangan yang sama, Harvard University juga telah menyekat beberapa pelajarnya daripada graduasi kerana mengambil bahagian dalam protes pro-Palestin.
Syd Sanders, seorang senior di universiti itu tidak akan menerima skrol ijazahnya sebagai contoh sebagai amaran kepada pelajar lain di universiti supaya tidak bersimpati dengan penduduk Gaza yang dianggap oleh Israel tidak lebih daripada haiwan belaka.
Bagi Sanders, tanggapan bahawa Harvard ialah university berprestij di dunia adalah dongeng semata-mata kerana dasar pendidikannya jelas tidak selari dengan peradaban dan kemanusiaan.
Kes Hasweh dan Sanders hanya dua contoh kebiadaban pihak universiti terkemuka di dunia yang dilondehkan sifat anti-kemanusiaan.
Lain-lain universiti yang turut berbuat demikian, termasuk Princeton University, Columbia University, Barnard College, dan New College Florida.
-BTS Media