BTS Media

Kerajaan persekutuan patut bincang dengan Sabah, Sarawak mengenai surat dalam bahasa Melayu

Oleh Zainal AS Rashid

KERAJAAN Persekutuan sepatutnya berbincang dan selaraskan dengan Sabah dan Sarawak terlebih dahulu sebelum melaksanakan dasar baharu yang mewajibkan surat kepada jabatan kerajaan ditulis dalam bahasa Melayu.

Bekas Ketua Menteri Sabah Salleh Said Keruak berkata dengan berunding bersama kedua-dua negeri itu terlebih dahulu, kerajaan persekutuan dapat memastikan kelancaran pelaksanaan dasar baharu itu demi kebaikan bersama, lapor NST.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata jabatan dan pejabat kerajaan tidak seharusnya melayan surat yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu, demi bagi memartabatkan bahasa kebangsaan.

Beliau berkata surat yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu, terutama daripada syarikat dan universiti tempatan akan dikembalikan.

Anwar juga berkata memperkasakan budaya bahasa kebangsaan adalah bahagian penting dalam pembinaan negara.

Pada hari yang sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata Sarawak tidak berhasrat untuk mematuhi arahan daripada perdana menteri kepada agensi kerajaan.

“Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia, dan kami mengalu-alukan dasar baharu ini, namun kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tidak boleh dipersoalkan.

“Ini kerana bahasa Inggeris, sebagai bahasa global, digunakan secara meluas dan mesti dikuasai, khususnya oleh penjawat awam yang berurusan dengan negara luar dan pelajar yang akan menerokai bidang pengajian dalam pendidikan dan seterusnya mengaplikasikannya dalam tenaga kerja,” katanya.

Salleh yang juga ADUN Usukan, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2023 untuk SMK Pekan Kota Belud, Sabah.

-BTS Media

Leave a Comment