BTS Media

Sekumpulan peguam Malaysia akan fail saman terhadap kumpulan British ‘The 1975’

Oleh Zainal AS Rashid

SEKUMPULAN peguam akan mewakili penaja Good Vibes Festival (GVF) 2023 dan artis tempatan untuk memfailkan saman tindakan kelas (class action suit) terhadap kumpulan British The 1975.

Dalam draf saman yang turut disiarkan di Facebook, peguam Mathew Thomas Philip menamakan keempat-empat ahli kumpulan itu sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi am, kos dan relif lain yang dianggap adil oleh mahkamah.

Peguam lain yang turut bekerjasama, termasuk Ahmad Iyas Husni, Phoebe Loi, dan Nandakumar S. Haridas.

Mathew meminta pihak yang mempunyai maklumat berkaitan dalam tindakan itu supaya mengemukakannya kepada pasukan peguam sukarelawan (pro bono) tersebut, lapor NST.

Menurut Mathew lagi, tindakan undang-undang itu adalah hasil daripada kelakuan biadab kumpulan The 1975.

Beliau berkata, mereka sepatutnya mematuhi skop tugas yang dijanjikan, dan bukan hak mereka untuk memberitahu cara negara ini ditadbirkan.

“Kamu semua amat mengarut,” tambah Mathew.

Persembahan The 1975 di GVF di Sepang, Selangor ditamatkan selepas penyanyi utamanya Matty Healy dilaporkan mengkritik undang-undang anti-LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) Malaysia sebelum mencium mulut pemain gitar bass kumpulan tersebut di atas pentas.

Susulan kejadian, kerajaan telah mengarahkan pembatalan serta-merta festival itu, yang sepatutnya berlangsung sehingga hari ini (Ahad 23 Julai).

Polis setakat ini telah menerima tiga laporan mengenai kejadian itu.

-BTS Media

Leave a Comment