ORANG ramai menyindir poster Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) berkait isi rumah bersama dua anak mampu menampung hidup pada kadar RM391 sebulan bagi perbelanjaan dapur.
Dalam infografik, J-Kom menyenarai enam barang dapur yang boleh dibeli isi rumah itu dengan bergantung kepada gaji minimum RM1,500.
Barang itu meliputi dua ayam seberat 2kg berharga RM37.60; beras (RM38/10kg); dua minyak masak (RM6.90/1kg); telur sepapan 30 biji (RM14); dua roti buku jumbo RM8.60, dan setong gas RM19 untuk kegunaan sebulan.
Poster itu juga mengunjurkan individu bujang membelanjakan hanya RM228 sebulan bagi barang tersebut, namun pada kuantiti lebih kecil.
Kesan daripada hantaran poster itu, bagaimanapun disambut dingin warganet dengan kebanyakkan “tidak bersetuju”, sambil ada berpandangan tiada keperluan bagi J-Kom memuatnaik infografik seumpama itu.
Pengguna Facebook, Hafiz Hiew, berkata “Adakala lebih baik usah buat poster begitu daripada buat. Terima sahaja hakikatnya kos harga barangan sudah meningkat dan tidak perlu berselindung lagi.”
Katanya, kenaikan kos perlu diakui masalah global dan ia perlu dihadapi bersama serta memerlukan perbincangan, penerimaan kritikan dan berlapang dada.
Dalam pada itu, Fey Zullah beranggapan poster itu seakan “palsu”.
“Ingat poster rekaan,” sindirnya.
Semenytara itu, HK Numismatic berkata, kandungan poster dilihat lompong kerana tidak memasukkan kos barangan berkaitan lain.
“Kicap, sos, bawang, halia, garam lain-lain…tak masuk lagi,” katanya.