BTS Media

MB Kedah disiasat menghasut, tindakan lanjut daripada Peguam Negara, kata Anwar kepada Parlimen

 

Oleh Yusoff A. Shariff

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini disiasat di bawah Akta Hasutan.

Siasatan dikatakan berhubung dakwaan kenyataannya bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda supaya Pulau Pinang dapat dikembalikan kepada Kedah.

Perkara itu sedang menunggu tindakan lanjut daripada Peguam Negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini, lapor The Star.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima satu laporan daripada polis terhadap Menteri Besar Kedah yang berkata Perlembagaan perlu dipinda supaya Pulau Pinang dapat dikembalikan ke Kedah kerana terdapat bukti kukuh, berdasarkan undang-undang bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

Menurut Anwar, sebagai seorang yang berkedudukan tinggi, kenyataan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, polis telah memulakan siasatan mereka berdasarkan undang-undang sedia ada bagi memastikan kenyataan yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan dan undang-undang tidak akan berulang.

Dalam jawapan kepada soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) hari ini (Selasa 6 Jun), Anwar berkata beberapa laporan telah diserahkan kepada Peguam Negara dan sedang menunggu tindakan.

Sebelum ini, Lim telah meminta penjelasan daripada Perdana Menteri berhubung dakwaan Sanusi, yang menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang serta didakwa mengancam keharmonian dan keamanan negara.

Anwar mendakwa kenyataan itu dibuat mungkin kerana pilihan raya negeri akan datang.

-BTS Media

Leave a Comment