KUALA PILAH: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan UMNO didakwa sedang berusaha untuk membunuh persepsi baik Perikatan Nasional (PN) sebagai sebahagian strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, mendakwa PN mempunyai persepsi yang baik dalam kalangan majoriti rakyat negara ini khususnya orang Melayu dan golongan muda berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
Malah, beliau yang juga Ketua Penerangan BERSATU berkata, PN sudah terbukti mempunyai kepemimpinan yang berintegriti dan boleh membentuk kerajaan yang baik.
“Hakikatnya majoriti rakyat mahu bersama dengan kita (PN) seperti mereka tunjukkan dalam PRU15 dan sebagai strategi untuk melemahkan PN, maka persepsi ini perlu dibunuh dalam menghadapi PRN di enam buah negeri.
“Sebab itu hari-hari cerita yang sama, untuk menunjukkan PN tidak baik. Itu strategi yang sedang mereka gunakan,” dakwanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Gelombang Rakyat Bersama PN di Kampung Tengah, Seri Menanti, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Sith dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.
Mohd Radzi berkata, PN akan menyusun strategi dalam usaha mencapai kemenangan pada PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, berkata kemenangan PN dalam PRN nanti adalah penting untuk generasi akan datang.
“Apa yang kita buat hari ini bukan untuk kita tetapi untuk masa depan generasi pewaris negara.
“Oleh itu, momentum baik yang dicapai pada PRU15 lalu perlu diteruskan pada PRN nanti,” katanya.