GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Yusoff A. Shariff
DUA pengarah kanan bergelar ‘Datuk’ sebuah syarikat direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung pengambilalihan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Perintah reman terhadap kedua-dua mereka masing-masing berusia 49 dan 59 tahun itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret, di Putrajaya selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kedua-dua suspek tiba pada kira-kira pukul 10.40 pagi dengan menaiki kenderaan berasingan bersama pengiring.
Petang semalam, SPRM menahan dua pengarah kanan itu ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM untuk memberi kenyataan masing-masing.
Penahanan melibatkan seorang pengarah urusan syarikat itu yang didakwa terlibat dalam mengambil alih Syarikat Menara KL.
Seorang lagi ialah ahli perniagaan yang dipercayai “orang tengah” dalam pengambilalihan itu.
Menurut beberapa sumber, hasil siasatan mendapati berlaku sogokan dalam pembayaran ratusan ribu ringgit dan jam tangan mewah, yang dikatakan sebagai hadiah kepada “pihak atasan” dalam pemerolehan itu.
Pengambilalihan itu tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan TM melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, untuk memindahkan pemilikan penuh mereka kepada Hydroshoppe Sdn Bhd Oktober lalu.
-BTS Media