GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Fetty Rara
DI SEMUA masjid negeri Selangor hari ini, khutbah Jumaat yang disampaikan menyebut tentang beberapa nasihat syarak kepada makmum yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.
Khutbah bertajuk ‘Kewajipan Mengundi Dalam Pilihan Raya’ itu juga menyifatkan memilih pemimpin dalam pilihan raya sebagai kewajipan ke atas setiap umat Islam di negara ini.
“Esok adalah hari mengundi. Beberapa nasihat syarak kepada pemilih, antaranya adalah setiap rakyat Malaysia cukup umur untuk mengundi wajib memainkan peranannya dengan keluar mengundi, kerana Parlimen memiliki kuasa bagi menentukan kerangka, dasar dan hala tuju negara.
“Oleh itu pastikan wakil yang dipilih adalah calon yang bermanfaat bagi memelihara kesucian dan kedudukan agama Islam, hak umat Islam dan hak rakyat berbilang bangsa seluruhnya.
“Untuk itu umat Islam mesti mengangkat orang-orang yang berkelayakan, yang akan membuat ketetapan bagi kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan, sebagaimana kaedah fiqh: ‘Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan masalah’,” katanya.
Khutbah Jumaat itu juga meminta pengundi wajib memilih orang yang memiliki keimanan kepada ALLAH, berilmu, berakhlak dan beramal soleh.
“Apatah lagi pengundian merupakan persaksian yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat,” katanya.
Menurut khutbah Jumaat itu, pemilih juga dinasihatkan agar tidak memilih calon yang mewakili Parlimen dari kalangan orang Islam yang memiliki sifat melakukan maksiat secara terang-terangan, memusuhi ALLAH, rasul dan orang beriman.
Di Kuala Lumpur, inti pati khutbah pula antara lain menyentuh tentang kewajipan pemimpin sentiasa bekerja menggalas amanah dan bermuhasabah terhadap apa yang akan dipersoalkan pada hari Pembalasan.
Juga diingatkan keperluan mewujudkan kestabilan politik, bina kemajuan negara, dan hentikan pertelingkahan dan perbalahan.
MANUAL JUMAAT 21-BTS Media