Oleh Zainal AS Rashid
TERPULANG kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada akan menghentikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya negara dilanda banjir besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata mesyuarat akan diadakan dengan SPR dan agensi berkaitan bagi mencari alternatif bagi meneruskan proses pilihan raya sekiranya berlaku banjir besar.
“Kita akan berbincang dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jawatankuasa Pengurusan Bencana, dan SPR juga boleh memberi pandangan. Terpulang kepada SPR jika mahu menghentikan pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri “Kenduri Rakyat” bersama masyarakat Bandar Kemayan di sini pada Ahad (6 Nov).
Penamaan calon untuk PRU15 telah diadakan semalam manakala pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.
Pada 4 Nov, MetMalaysia meramalkan musim tengkujuh timur laut akan bermula pada 7 Nov dan berlarutan sehingga Mac tahun depan, dan ia boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan sungai.
Jabatan itu juga meramalkan fenomena air pasang besar boleh melanda antara November dan Januari tahun depan.
-BTS Media