BTS Media

Kenapa UMNO beria-ia sangat nak buat sekarang?

NAIB Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin hairan dengan sikap UMNO yang tetap mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera, sebolehnya tahun ini juga.

Menurutnya, sekiranya benar-benar memikirkan kepentingan rakyat, UMNO sepatutnya tahu kegusaran rakyat pada waktu ini adalah banjir yang dijangka berlaku pada hujung tahun.

“Kenapa nak buat sekarang? Kenapa beria sangat nak buat sekarang?

“Kalau kita bercakap tentang kepentingan rakyat, maka kita tahu kepentingannya apa pada waktu ini. Seperti saya jelaskan sebelum ini, inilah dia perangai UMNO.

“Mereka ingin menunjukkan bahawa mereka kuat, mereka parti paling kuat, paling teguh tapi mereka lupa yang paling kuat, apabila datangnya pilihan raya adalah rakyat.

“Rakyat yang mempunyai kuasa untuk mengundi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, di sini pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap persediaan Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya PRU15 diadakan ketika sesebuah kawasan itu dilanda banjir.

Jelas Radzi, sekiranya perkara itu berlaku, ia pasti mendatangkan kesukaran kerana bangunan sekolah bukan sahaja digunakan sebagai pusat mengundi malah ia juga digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) buat penduduk.

“Penggunaan sekolah sebagai PPS ini adalah satu kebiasaan, telah digunakan sekian lamanya dan kita telah senaraikan sekolah yang memang kita gunakan sebelum ini dan dijadikan PPS.

“Pada masa sama, sekolah juga digunakan untuk pusat mengundi. Kita tahu sekolah merupakan komponen utama apabila kita bercakap perihal mengundi. Bukan saja sekolah, guru pula banyak membantu dalam konteks pengurusan banjir.

“Sebab itu saya kata, seolah-olah tiada masa lain pula untuk buat pilihan raya,” ujarnya.

Leave a Comment