SYARIKAT konsesi Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) diarahkan memasang pembesar suara dan alat pemaklum digital di bahu jalan bagi memberi amaran kepada pemandu supaya tidak berhenti di lorong kecemasan untuk menikmati pemandangan panorama Kuala Lumpur.
Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof, membuat arahan itu berikutan berlaku kemalangan pertama di lebuh raya itu berhampiran plaza tol Bukit Teratai baru-baru ini.
“Saya mengarahkan Prolintas memasang pembesar suara di kawasan yang dikenal pasti sebagai tumpuan untuk menikmati pemandangan Kuala Lumpur bagi membantu kamera yang sudah sedia dipasang di SUKE,” katanya kepada FMT.
Pada tengah hari Ahad lalu, seorang penunggang motosikal cedera selepas merempuh belakang Perodua Myvi yang berhenti di laluan kecemasan selebar 3m. Ia adalah kemalangan pertama di SUKE sejak dibuka.
Polis berkata, pemandu Myvi itu berhenti di lorong kecemasan untuk mengambil gambar pemandangan.
Bahu jalan SUKE antara laluan Bukit Teratai dan Bukit Sungai Puteh menarik perhatian pengguna jalan raya untuk berhenti bagi menikmati pemandangan Kuala Lumpur.
Konsesi lebuh raya itu, Prolintas berkata, hampir 100,000 kenderaan menggunakan Fasa 1 SUKE dalam tempoh 24 jam pertama ia dibuka pada Hari Malaysia lalu.
Lebuh raya sepanjang 24.4km itu merangkumi 90% jalan bertingkat.
Difahamkan, sebanyak 40 unit kamera pengawasan dipasang di setiap kilometer di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan
Fadillah berkata, pemasangan pembesar suara dan paparan mesej elektronik itu akan meningkatkan pengawasan di kawasan tumpuan untuk menikmati pemandangan yang dianggap bahaya kepada keselamatan.
“Pekerja yang memantau kamera keselamatan boleh memberi amaran menggunakan pembesar suara dan menghantar mesej menerusi paparan elektronik kepada pengguna yang berhenti dan mengarahkan mereka beredar.
“Prosedur ini hampir sama seperti diamalkan di beberapa bandar di Indonesia dan Jepun. Saya juga meminta Prolintas bekerjasama rapat dengan polis untuk meningkatkan penguatkuasaan,” katanya.