BTS Media

Kedai kopi ‘antik’ Double Lion Kuala Kangsar popular, masih tarik pelanggan

BAGI orang Kuala Kangsar, Kedai Kopi Double Lion tidak asing lagi, kerana kedudukannya betul-betul di ‘roundabout’ dekat Sekolah Clifford dan jalan ke Manong.

Kedai kopi yang juga dikira ikonik di bandar diraja ini, selain yang sebuah lagi di tengah bandar, iaitu Kedai Kopi Yat Lai, masih mampu menarik perhatian, walaupun semakin banyak restoran dan kedai kopi baharu dibuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak dahulu, kedai ini menjadi pilihan orang Kuala Kangsar dan pelancong yang mendapatinya tersenarai dalam beberapa buku pengembaraan antarabangsa, termasuk Lonely Planet.

Menurut pengurusnya, Leong Tian Chia, 60, Double Lion merupakan pilihan untuk menikmati roti “homemade” yang terkenal sejak turun temurun, selain kopi “kaw” dan persekitaran retro yang mengimbau banyak kenangan.

Dia berkata hiasan dalaman yang masih seperti beberapa dekad dahulu, memberikan deria berbeza berbanding stail dan penampilan ala “retro” yang menarik generasi sekarang – apa tidaknya, memandangkan mereka hanya dapat melihat apa yang wujud dalam kepompong generasi sendiri.

Bangunan Double Lion dibina untuk bertahan lama menggunakan bahan kukuh, dan masih dilengkapi perabot “vintage” yang dipadankan dengan lagu-lagu klasik lama.

Leong tegar mempertahankan kualiti roti dibakar sendiri di premis itu yang dikatakan konsisten menggunakan resipi asal.

Maka itu, tidak hairanlah jika hidangan paling popular di sini ialah roti bakar dan ban kukus yang dihidangkan bersama marjerin dan kaya.

Bagi Leong, rahsia yang menjadikan Double Lion bertahan sepanjang tiga generasi membuktikan kualiti makanan yang sentiasa menarik pelanggan, termasuk tokoh-tokoh ternama, pemimpin tempatan dan juga orang ramai.

Dia masih ingat semasa askar Australia dan British yang berpangkalan di kem-kem sekitar Kuala Kangsar, termasuk di Kampung Luat tepi Sungai Perak di Lenggong akan singgah ke kedai ini untuk minum dan makan apabila diberikan cuti.

Pada zaman dahulu Double Lion juga popular sebagai lokasi untuk meraikan hari jadi atau majlis perkahwinan.

Kedai Kopi Double Lion yang turut menawarkan penginapan menonjol semula sejak kebelakangan ini kerana media sosial apabila gambar dan video premis tersebut ditularkan.

-BTS Media

 

Leave a Comment