BTS Media

Jual roti canai harga 50 sen sejak 21 tahun lalu

 

Oleh Zainal AS Rashid

Walaupun terjejas oleh harga barang yang melambung tinggi dan kekurangan bekalan tepung gandum, seorang peniaga roti canai di Melaka masih menjual roti canainya pada harga 50 sen sekeping sejak 21 tahun lalu.

Selain itu, dia juga mengekalkan harga RM1 untuk roti telur dan roti planta, lapor Sinar Harian pada Selasa

Mustafa Abd Latif, 58, mula menjual roti canai pada 2001 bersama isterinya Norlela Salleh , 51.

Dia akan terus menjual roti canai pada harga ini selama mungkin berdasarkan niat untuk berniaga sambil bersedekah.

Menurut Mustafa, setiap hari dia menjual lebih 200 keping roti canai, dan menambah dua kali ganda menggunakan kira-kira 20kg tepung pada hujung minggu dan cuti umum di gerainya di Bukit Pulau, Bukit Katil.

Pada hari biasa dia menggunakan kira-kira 10kg tepung dan mengambil masa dua jam untuk menguli dan menyiapkan tepung roti canai.

Mustafa meninggalkan kerja dalam bidang kraf tangan untuk menjual roti canai dengan dibantu oleh anak-anaknya di Bukit Pulau, Bukit Katil di mana dia menyewa tanah RM480 sebulan sejak 11 tahun lalu.

Perkembangan terbaharu yang menyaksikan harga pelbagai bahan mentah melambung tinggi, turut memberi kesan kepada Mustafa yang mengaku sukar mendapatkan bahan mentah, terutama tepung.

Satu lagi masalah yang dihadapinya ialah untuk mendapatkan bekalan dua jenama tepung yang biasa digunakan.

Walaupun tepung jenama lain masih boleh digunakan, namun Mustafa setia kepada dua jenama kebiasaan itu bagi mengekalkan kualiti roti canainya yang dikatakan lembut walaupun sejuk.

-BTS Media

Leave a Comment