BTS Media

Zaid Ibrahim persoal keengganan dedah rekod pegangan saham Azam

GAMBAR: NSTP

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Zaid Ibrahim, mempersoalkan alasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, yang enggan mendedahkan rekod pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, di Dewan Rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook, Zaid menyifatkan pendirian itu sukar diterima kerana maklumat berkaitan pegangan saham syarikat direkodkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Beliau mempersoalkan bagaimana rekod berkenaan boleh dianggap bukan dokumen awam sedangkan pemilikan saham syarikat didaftarkan dengan SSM.

Menurut beliau, siasatan berhubung isu itu juga telah selesai dijalankan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keperluan untuk terus merahsiakan maklumat tersebut atas alasan kerahsiaan.

Zaid turut berpandangan bahawa, dari sudut kebertanggungjawaban, menteri berkenaan sepatutnya memberikan jawapan yang jelas dan substantif terhadap soalan yang dikemukakan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Azalina memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa rekod berkaitan pegangan saham Azam bukan merupakan dokumen awam dan justeru tidak boleh didedahkan. Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan memberi jaminan bahawa semua aspek berkaitan, termasuk pemilikan saham dan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa, telah diteliti sepanjang proses siasatan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya), yang meminta butiran transaksi pembelian saham Azam bagi tempoh tahun 2012 hingga 2026, termasuk tempoh nilai keseluruhan pegangan sahamnya melebihi RM100,000.

Sementara itu, Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital berdasarkan pemfailan kepada SSM, dengan pegangan tersebut didedahkan menerusi penyata tahunan syarikat berkenaan.

Pada bulanFebruari lalu, Bloomberg turut melaporkan mengenai kewujudan “mafia korporat” yang didakwa dibantu SPRM untuk membolehkan sekumpulan ahli perniagaan menguasai syarikat tersenarai awam. Bagaimanapun, Azam dan SPRM menafikan dakwaan tersebut.

-BTSMedia.my

Leave a Comment