BTS Media

Mula-mula MIC, kini MCA pula tak akan kempen untuk calon kerajaan perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu

MCA tidak akan berkempen pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan perpaduan bukan daripada Barisan Nasional (BN).

Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuaratnya semalam menjelang PRK 11 Mei depan.

“Selepas pertimbangan teliti, keputusan sebulat suara jawatankuasa sekiranya calon yang dicadangkan itu bukan ahli mana-mana parti komponen BN, maka MCA tidak akan menyertai sebarang usaha kempen,” katanya dalam kenyataan.

Pada 22 Mac, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata mereka tidak akan menuntut kerusi Kuala Kubu Baharu, sebaliknya memberi laluan kepada rakan parti penyandang dalam kerajaan perpaduan iaitu DAP.

Sebelum ini, Presiden MIC SA Vigneswaran berkata parti itu tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu kerana tidak ditandingi calon BN.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu akibat barah.

-BTS Media

Leave a Comment