BTS Media

Shafee tidak dibenar fail tuntutan balas terhadap LHDN

KUALA LUMPUR – Peguam Muhammad Shafee Abdullah tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini memfailkan tuntutan balas terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung pembayaran tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menolak permohonan peguam itu selepas membenarkan bantahan Kerajaan Malaysia melalui LHDN. Beliau turut diperintah membayar kos RM5,000.

Mahkamah berpuas hati, tuntutan balas Muhammad Shafee bukan berasaskan kepada tunggakan cukai pendapatan, sebaliknya atas dakwaan niat jahat (mala fide) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Roz Mawar berpendapat, asas permohonan tersebut tidak tertakluk dalam skop dan peraturan yang membolehkan tuntutan balas dibenarkan.

Dalam keputusannya, Roz Mawar turut menyatakan, SPRM dan AGC bukan pihak-pihak dalam prosiding itu dan sebarang isu berhubung `niat jahat’ perlu diselesaikan melalui jalan lain.

Ujar beliau, kes undang-undang berkaitan cukai di negara ini menyatakan bayaran perlu dijelaskan terlebih dahulu yang mana prinsip `bayar dahulu, sembang kemudian’ adalah predominan.

Beliau menjelaskan, meskipun rayuan dikemukakan, bayaran tunggakan cukai perlu dijelaskan bagi mengelakkannya menjadi hutang.

Roz Mawar turut berpuas hati, sebarang ketidakpuasan berhubung pengiraaan tunggakan cukai perlu didengar dan diputuskan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

“Beliau boleh memfailkan rayuan kepada SCIT tetapi bayaran mesti dibuat terlebih dahulu,” katanya sambil menambah jika SCIT kemudiannya mendapati taksiran cukai itu tidak betul, sebarang lebihan wang yang dibayar akan dikembalikan.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 26 Julai ini bagi mendengar permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus terhadap Muhammad Shafee.

Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan berdasarkan afidavit yang difailkan bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan terhadap tuntutan dan tiada isu yang memerlukan keterangan saksi pada perbicaraan penuh.

Muhammad Shafee diwakili oleh peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee sementara LHDN diwakili oleh Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Al-Hummidallah Idrus, Norzilah Abdul Hamid dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd. Ghause.

Muhammad Shafee memfailkan tuntutan balas terhadap LHDN pada Mei 2021 atas alasan tuntutan cukai tersebut merupakan satu serangan terhadapnya sebagai mangsa politik selaku peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Baca lagi: https://www.kosmo.com.my/2023/04/13/mahkamah-shafee-tidak-dibenar-fail-tuntutan-balas-terhadap-lhdn/

Leave a Comment