BTS Media

Agong pun terlucut jawatan jika didakwa, inikan pula TPM, kata Mahathir

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

PENTADBIRAN Mahathir yang menghapuskan kekebalan raja-raja daripada sebarang tindakan bagi kes jenayah pada 1993, mengatakan peruntukan dalam Perlembagaan menyebut peranan Yang di-Pertuan Agong akan terhenti dalam pentadbiran kerajaan jika didakwa melakukan kesalahan.

“Ia berbunyi seperti berikut: ‘Jika Yang di-Pertuan Agong dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV dia hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong’,” kata Mahathir memetik Perkara 33A Perlembagaan Persekutuan.

“Jelas sekali didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah adalah sangat serius sehingga seseorang seperti Agong perlu berhenti menjalankan peranannya sebagai Agong.

“Ia (Perlembagaan) tidak menyebut bahawa Agong perlu didapati bersalah sebelum berhenti menjalankan tugasnya. Didakwa di mahkamah adalah jelas satu perkara yang serius di mana Perlembagaan menetapkan peranannya juga boleh terlucut,” tambahnya.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan jenayah berkaitan salah guna dana Yayasan Akalbudi, selain 40 lagi pertuduhan rasuah visa luar negara yang kemudiannya dibebaskan daripada pertuduhan tersebut awal tahun ini.

Walaupun beliau masih berdepan pertuduhan jenayah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetap melantik presiden UMNO itu sebagai timbalannya selain dilantik memegang portfolio kemajuan desa dan wilayah yang merupakan portfolio penting dalam Kabinet.

Zahid memainkan peranan penting melonjakkan Anwar untuk menduduki jawatan perdana menteri, selepas beliau berjaya menyekat bantahan pemimpin UMNO dalam usahanya berganding bahu dengan pengerusi Pakatan Harapan (PH) selepas Parlimen digantung sebaik pilihan raya umum November lalu melabuhkan tirai.

Baca lagi: https://www.msn.com/en-my/news/berita/agong-pun-terlucut-jawatan-jika-didakwa-inikan-pula-tpm-kata-mahathir/ar-AA15NzQu?ocid=msedgntp&cvid=0426e1fc81684b119d754a479e0d1764

Leave a Comment