BTS Media

Polis siasat ucapan Razman yang didakwa berunsur fitnah, niat jahat

Oleh Zainal AS Rashid

POLIS Perak sedang siasat ucapan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunong Semanggol, Razman Zakaria yang tular sejak 6 November lalu.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis menerima satu laporan yang mendakwa ucapan tersebut berunsur fitnah dan berniat jahat itu ditujukan kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis menasihatkan agar semua penyokong parti yang terlibat supaya mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama ketika tempoh berkempen,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Mohd Yusri juga berkata setakat semalam sejumlah tujuh laporan diterima polis dan satu kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh kempen PRU15 berlangsung.

Beliau berkata, sebanyak 142 ceramah berlangsung dalam tempoh kempen dengan 123 mendapat permit, manakala 19 lagi tidak mempunyai permit.

Polis telah meluluskan sebanyak 123 permohonan ceramah.

Dalam satu video Facebook semalam,  Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak  berkata beliau tidak kisah sebarang laporan polis atau siasatan dibuat terhadapnya berhubung ucapan semasa kempen PRU15 pada Ahad itu.

-BTS Media

Leave a Comment