GAMBAR ATAS: Photo by CEphoto, Uwe Aranas via Wikimedia Commons.
Oleh Yusoff A. Shariff
Dua diplomat kanan Malaysia di Emiriah Arab Bersatu diarah pulang kerana dikatakan gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ke negara itu baru-baru ini.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin (11 April) menjelaskan bahawa Duta Besar Malaysia ke UAE, serta Konsul Jeneral di Dubai, gagal menyelaraskan urusan berkenaan bagi lawatan Perdana Menteri berdasarkan SOP untuk lawatan peringkat tertinggi di luar negeri, terutama sewaktu ketibaan Perdana Menteri di Dubai pada 29 Mac.
Kegagalan itu menyebabkan Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di balai ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh pihak imigresen Dubai.
Menurut Wisma Putera, lazimnya, dalam apa keadaan sekalipun, seperti semasa Perdana Menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan ‘taraf tetamu,’ namun Ketua Perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked mengikut SOP untuk beliau.
Kedua-dua pegawai tersebut juga dikatakan gagal memaklumkan kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) di Putrajaya tentang penganjuran Sidang Kemuncak Kerajaan (WGS) yang diadakan dalam Kawasan Ekspo Dubai.
Wisma Putera berkata pihak tertinggi KLN hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain.
Pada tengah hari 30 Mac, Menteri Luar Saifuddin Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa UAE, Reem Ebrahim Al Hashimy di mana Perdana Menteri dijemput menghadiri Majlis Penutup WGS pada petang 30 Mac.
Wisma Putera berkata masalah itu tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal, kerana Kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan hingga ke akhir lawatan.
Justeru, semasa majlis perlepasan pulang Perdana Menteri dari Dubai, Kerajaan UAE telah mengaturkan static guards of honour di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, di mana Kerajaan UAE diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, TYT Omar bin Sultan Al Olama.
Bagi Wisma Putera, tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai itu bukan sesuatu yang luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menjaga kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kecekapan dan kepentingan perkhidmatan awam.
-BTS Media